Wednesday, 19 October 2011

Kaum Sufi Di Zaman Rasulullah s.a.w
Ahli suffah merupakan satu kumpulan sahabat Rasulullah s.a.w yang daripada mereka dikatakan bermulanya aliran sufi atau tasauf. Mereka dikenali sebagai golongan miskin yang menumpang tinggal di beranda masjid Rasulullah s.a.w di kota Madinah. Perbelanjaan mereka ditanggung oleh orang ramai. Mereka terdiri daripada golongan yang tidak memiliki apa-apa, lemah dan tiada kemahiran dalam urusan kehidupan harian. Walaupun keadaan ahli suffah yang demikian kaum Muslimin tidak menganggapkan mereka sebagai beban. Kaum Muslimin yang berkemampuan dengan ikhlas hati memberi bantuan kepada golongan yang lemah itu.
Apabila perkembangan Islam telah pesat ternyata peranan ahli suffah sangat penting. Tindakan Rasulullah s.a.w menyediakan tempat di beranda masjid baginda s.a.w untuk satu puak yang menjadi ahli masjid merupakan satu tindakan yang sangat berhikmah. Ahli suffah yang juga ahli masjid Rasulullah s.a.w merupakan kumpulan yang paling hampir dengan baginda s.a.w. Mereka yang mula-mula mendengar pengajaran Rasulullah s.a.w. Mereka sentiasa hadir di dalam majlis baginda s.a.w. Mereka mempelajari al-Quran secara langsung daripada Rasulullah s.a.w. Peranan mereka adalah umpama kutubkhanah yang menyimpan segala macam pengajaran Nabi Muhammad s.a.w. Mereka hanya menceburi satu bidang sahaja dalam kehidupan ini, iaitulah bidang ilmu Rasulullah s.a.w. Dari kalangan mereka terdapat orang-orang yang sangat mendalam pengetahuan mereka tentang agama Islam. ‘Khazanah ilmu agama’ itulah yang memainkan peranan penting sebagai mubaligh yang menyampaikan ajaran Islam kepada kaum Muslimin yang tidak sempat hadir di dalam majlis Rasulullah s.a.w dan juga kepada mereka yang baharu memeluk agama Islam. Ahli suffah, ahli masjid Nabi s.a.w atau ahli sufi pada zaman Rasulullah s.a.w merupakan golongan yang bekerja di dalam bidang ilmu sepanjang masa. Mereka merupakan gedung ilmu dan juga penyebar ilmu. Al-Quran memberikan perhatian istimewa kepada ahli suffah, ahli masjid Nabi s.a.w, ahli sufi atau ahli ilmu itu. Allah s.w.t memperakui kepentingan sumbangan mereka kepada perkembangan agama-Nya.

No comments:

Post a Comment